SETIAP KITA ADALAH PEMIMPIN...
ADILKAH KITA DI DALAM KEPIMPINAN...?


ANAK KITA TANGGUNGJAWAB KITA.

Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَاْلأَمِيْرُ رَاعٍ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ.

Maksubnya: “Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggung jawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami pun pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta pertanggungjawabannya atas kepemimpinannya." (HR Bukhari, no. 893, 5188, 5200)

Masing-masing mempunyai peranan suami dan isteri dalam rumahtangga. Oleh itu, sebagai ibubapa kita mesti menunjuk contoh yang terbaik dihadapan anak-anak.  Jika nak bergaduh sekalipun janganlah kita bergaduh dihadapan anak-anak. Bersabarlah walaupun hati didalam rasa nak "meletup" kerana pergaduhan yang disaksikan oleh anak-anak akan memberi kesan kepada anak-anak tanpa ibubapa sedari. Mungkin dirumah mereka boleh menjadi anak yang baik kerana takut kepada kita, namun dibelakang kita terutama di sekolah mungkin mereka menjadi pembuli atau menjadi seorang murid yang tidak aktif dan takut kerana terbawa-bawa dengan perlakuan dirumah.

Ingatlah, anak ini amanah Allah kepada kita. Jangan kita abaikan mereka. Jagalah mereka dengan seikhlas hati kita dan bimbinglah mereka jika mereka tersasar. Jangan kita biarkan mereka tanpa ditegur kerana takut ia menjadi kebiasaan dan menjadi rutin hidup mereka. Contoh: kita sering lihat orang membuang sampah keluar kereta, kita tegur mereka bahawa perbuatan itu tidak elok. Kerana bukan sahaja ia mengotorkan jalan raya tetapi ia membahayakan kenderaan dibelakang dan yang lalu lalang. Sediakan plastik sampah kecil di dalam kenderaan supaya mereka ada tempat untuk membuang sampah. Jangan kita tegur mereka tapi dalam yang sama kita tidak sediakan penyelesaian bagi mereka.

Nasihatlah  mereka dengan sebaik-baiknya nasihat sebagaimana nasihat Luqman kepada anaknya:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Maksubnya: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika ia memberi pelajaran kepadanya, ‘Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.’” (QS Luqman: 13)

Ajar mereka solat dan ajak mereka solat. Jangan biarkan guru-guru sekolah memainkan peranan mereka mengajar mereka solat. Guru-guru hanya bersama dengan anak-anak kita lebih kurang 30 minit dalam kapasiti murid yang ramai maka tidak mustahil guru-guru tidak mampu memberi perhatian khusus kepada anak-anak kita. Oleh itu, kitalah yang harus memainkan peranan.

Allah Ta’ala berfirman :

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ

Maksubnya: “Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rizeki kepadamu, Kami-lah yang memberi rizeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang bertaqwa.” (QS Thaahaa : 132)

Jagalah akhlak mereka dengan sebaik-baik akhlak. Contoh: Jangan kita menipu anak-anak dengan janji-janji kosong..... jika kamu tolong ayah bersih rumah hari ini, ayah akan belanja makan diluar. Tetapi apabila siap mereka menolong kita, kita hanya diamkan dan pura-pura lupa akan janji kita. Anak-anak sentiasa berharap dengan apa yang ibubapa mereka dan bagi mereka ibubapa merekalah yang terbaik. Hebatnya anak-anak kita ini, walaupun masakan orang lain lagi sedap dari masakan ibu mereka namun mereka tetap rindukan masakan ibu mereka. Inilah kehebatan kasih sayang yang Allah bagi kepada anak-anak terhadap ibubapa mereka.

Dan akhir sekali jagalah dengan siapa mereka berkawan dan kenalilah siapa kawan anak-anak kita. Jangan kita tidak ambil kisah siapa kawan mereka. Ambil kisah segala-galanya berkenaan anak-anak kita.

Sebagai ibubapa jangan kita lupa berdoa kepada anak-anak kita supaya mereka menjadi hamba yang soleh dan bertaqwa dan berpegang teguh dengan al-Qur'an dan sunnah, menjadi anak yang baik dan menurut kata ibubapa dan berakhlak yang baik samada dengan ibubapa, keluarga dan dengan orang lain.

Antara doa yang ada di dalam Al-Quran:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksubnya: “…Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.” (QS Al-Furqaan : 74)

Wallahua'lam.


Comments

Popular posts from this blog

JANGAN MEMBAZIR KETIKA BERAYA...